Dalam usaha kita untuk menuntut
ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum
menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak
dalam sebuah kitab beliau:
"Aku memperlajari adab
selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan
adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu"
[Mansuah al Adab al Islamiah : 15]
Pada
pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'.
Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah
kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah
sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah,
memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada
memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.
Dalil Menuntut Ilmu
Dalam Surah at Taubah ada
menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad).
Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman
Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman
keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja
dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu
mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya
mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu
kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan
larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]
Dan dalam sebuah hadis
Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin memberikan
hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam agama.
Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan
yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:
"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan
kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR
Bukhari dan Muslim]
Adab Menuntut Ilmu
01.Niat
yang ikhlas
Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT
ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka
disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]
Niat itu sendiri
memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan
dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana
Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam hati
tiap-tiap manusia.
02.Beradab
dengan orang yang memberi ilmu
Imam Syafie pernah bekata:
"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah
ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang
bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada
kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s
31]
Pada pendapat saya dalam
hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara
ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan
mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui
kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan
sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita
akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika
dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.
03.Bersabar
dalam menuntut ilmu
Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas
kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237
04.Tulis setiap yang dipelajari
Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu Hurairah berkata:
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang
paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka
sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan
Baihaqi]
Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada
siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al
Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]
Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu
dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan
yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam
taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan
kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang
yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir
malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka
bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." [HR Bukhari dan
Muslim]
PENUTUP:
Tiada adab yang lebih
sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah SAW dan adab mereka yang
segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya (tabi'in)
kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).
Saya menasihati para
pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu agama, seharusnya
memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun adab-adab tersebut
seharusnya jangan terlalu 'fanatik' sehinggakan memperbetulkan apa yang salah
dari mereka yang kita hormati. Manakah yang kalian lebih cintai sama ada
pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan ilmu.
Hanya ilmu yang layak
untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al Quran, as Sunnah
dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya barangsiapa di antara kalian yang hidup
sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh
kerana itu wajib bagi kalian untuk berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah
al Khulafa al Rasyidin yang terbina dan terbimbing. Berpeganglah erat-erat
denganya dan gigitlah ia dengan gigi gerham." [HR Abu Daud, at Tarmidzi
dan lain-lain]
Tinta saya hanyalah dari
ilmu yang sedikit namun kerana kesedaran betapa pentingnya adab dalam menuntut
ilmu maka saya kongsikan apa yang terbaik dari ilmu yang sedikit ini. Saya
memohon dari para 'alim dari segala ilmu untuk menegur jika terdapat salah dan
silap dari apa yang saya kongsikan ini. Sungguh tiada yang lebih benar
melainkan dari al Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW.